Saturday, September 11, 2021

PROGRAM BACAAN YASIN ANJURAN PIBG SKPRo

Pada Khamis, 26 Ogos 2021, telah berlangsung Program Bacaan Yasin peringkat SKPRo anjuran PIBG. Program ini diadakan dengan tujuan untuk memohon perlindungan serta kesembuhan dari Allah SWT kepada semua warga SKPRo serta penduduk Kampung Pechah Rotan yang telah terkesan dan menjadi mangsa wabak pandemik COVID-19.

Program yang diadakan menerusi Google Meet ini bermula pada pukul 7.50 malam dan berakhir pada jam 8.40 malam. Ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari seluruh warga SKPRo. Diharapkan dengan bacaan Yasin dan doa ini akan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah serta diberi kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan untuk seluruh warga SKPRo dan penduduk Kampung Pechah Rotan yang terlibat dengan COVID-19. 

Aameeenn Ya Rabbal Aalamiiinnn....








Monday, February 25, 2019

HAPPY NEW YEAR!! IT'S ALREADY 2019!!

Assalamualaikum dan Selamat Tahun Baru 2019 ditujukan khas kepada semua warga SK Pechah Rotan dan amnya kepada  semua yang menyambutnya. Entri kali ini agak lewat bersiaran di petak blog SK Pechah Rotan ekoran pertukaran pentadbiran (admin) baru. Hehe..

Bermula seawal Januari 2019 lagi, pelbagai program yang telah dijalankan di peringkat sekolah, komuniti dan daerah. Antaranya ialah Merentas Desa peringkat sekolah dan daerah, Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan, Temu Murni Tahun 6 beserta Solat Hajat Kali Pertama 2019, Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber, Majlis Pelancaran Nilam, Jom Ke Sekolah dan terakhir sekali Majlis Persaraan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ustaz Ramlan bin Abdullah.

Berikut adalah gambar sekitar program sepanjang 2 bulan ini:

1. MERENTAS DESA PERINGKAT SEKOLAH: 17 Januari 2019: Kampung Pechah Rotan


2. MERENTAS DESA PERINGKAT DAERAH: 24 Januari 2019: SMK Padang Kemunting




3. MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN 2019: 31 Januari 2019: Dewan Ibnu Sina, SK Pechah Rotan




4. MAJLIS TEMU MURNI TAHUN 6: 12 Februari 2019: Dewan Ibnu Sina, SK Pechah Rotan



5. MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH & PENGAWAS PUSAT SUMBER DAN PELANCARAN NILAM: 13 Februari 2019: Dewan Ibnu Sina, SK Pechah Rotan





6. MAJLIS BACAAN YASIN & SOLAT HAJAT BIL. 1/2019: 14 Februari 2019: Surau Ar-Rayyan, SK Pechah Rotan





7. PROGRAM JOM KE SEKOLAH: 18 Februari 2019: Dewan Ibnu Sina , SK Pechah Rotan





8. MAJLIS PERSARAAN PENOLONG KANAN HAL EHWAL MURID, UST. RAMLAN BIN ABDULLAH: 19 Februari 2019



Tuesday, November 20, 2018

Sambutan Maulid al-Rasul 1440H dan Majlis Khatam al-Quran

Kedatangan bulan Rabiul Awal 1440H kali ini menyaksikan sambutan Maulid al-Rasul peringkat SK Pechah Rotan diraikan buat sekian kalinya. Majlis yang diadakan pada hari Khamis, 15 November 2018 ini telah bermula dari jam 8.30 pagi lagi dan bertempat di Dewan Ibnu Sina, SK Pechah Rotan.


Ucapan Ketua Panitia Pendidikan Islam & Bahasa Arab

Ketua Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Ustazah Nur Adilah binti Mustafa, telah menyampaikan kata-kata aluan dan taklimat sebelum majlis bermula. Seterusnya pengisian slot pertama telah bermula dengan ceramah Maulid al-Rasul yang telah disampaikan oleh Muallim Solahuddin. Ceramah yang diselangi dengan soalan, klip-klip selawat dan nasyid ini bertujuan memugar ingatan murid dan menyemai rasa cinta mereka kepada Rasulullah s.a.w. meskipun sambutan yang dilaksanakan kali ini sebenarnya beberapa hari lebih awal daripada tarikh 12 Rabiul Awal.

Kemudian majlis diteruskan lagi dengan pertandingan kuiz Maulid al-Rasul untuk murid-murid Tahap 2. Sebanyak dua kumpulan daripada kalangan murid lelaki dan perempuan telah dibentuk bagi pertandingan yang telah dibahagikan kepada kategori murid lelaki dan murid perempuan. Setiap kumpulan pula mempunyai seorang wakil murid daripada Tahun 4, 5 dan 6. Kedua-dua Kumpulan Pertama telah menjuarai kategori murid lelaki dan murid perempuan dalam pertandingan kuiz yang berakhir pada jam 10.15 pagi ini.

Peserta kuiz katergori murid lelaki.

Peserta kuiz kategori murid perempuan.



Selanjutnya majlis diteruskan lagi pada jam 11.00 pagi dengan acara Majlis Khatam al-Quran yang penuh warna-warni. Murid-murid dan guru telah berpakaian kebangsaan sedari pagi lagi dan majlis tidak ketinggalan dengan tradisi 'pulut semangat' atau pulut kuning bagi menyerikan lagi suasana.

Tuan Guru Besar, En Azmi bin Senik, telah diberikan penghormatan bagi merasmikan majlis yang julung kalinya diadakan pada peringkat sekolah. Dalam ucapannya, beliau mengharapkan murid-murid dapat mempelajari selok belok bacaan al-Quran sehingga dapat menggayakan bacaan dengan sempurna dan penuh tartil. Di samping itu juga beliau menyeru agar semua warga sekolah dapat menghayati kandungan al-Quran yang merupakan kalamulLah dan mukjizat baginda Rasulullah s.a.w. bermula dengan pembudayaan program "Bacaan Surah al-Fatihah dan Mengingati Terjemahannya" yang telah dilancarkan sedari awal bulan Syawal tahun ini.
Ucapan perasmian oleh Tuan Guru Besar
Ustaz Ramlan memimpin sesi bacaan Khatam al-Quran
 


Kemudian Ustaz Ramlan telah memimpin bacaan al-Quran dan doa bagi acara khatam al-Quran bersama para guru dan murid. Pada tahun ini seramai enam orang murid yang terdiri daripada Tahun 4, 5 dan 6 telah berjaya menamatkan bacaan al-Quran. Mereka ialah Nur Aliya Maisarah bt Mohd Pakrudin (Tahun 4), Nur Dini Atiqah bt Mohd Sedek dan Minhah Anis Humaira bt Mohd Asri (Tahun 5) serta Afifah Zulfa bt Saadon, Muhammad Nor Haiqal b Normi dan Nur Intan Syuhaada bt Che Sabry (Tahun 6).

Pada sesi penutup pula GPK Pentadbiran, Ustazah Rusnani binti Mamat, telah menyampaikan hadiah bagi pemenang acara Kuiz Maulid al-Rasul bagi pihak sekolah.




Manakala Tuan Guru Besar pula telah menyempurnakan acara penyampaian sijil, cenderamata dan pulut kuning kepada murid yang telah khatam al-Quran. Majlis ini akhirnya melabuhkan tirainya pada jam 12.50 tengah hari.

Pengerusi slot Majlis Khatam al-Quran yang keletah, Cikgu Asri.




Kem Bestari Solat (KBS) Perdana



Pada 8 November yang lalu, pihak SK Pechah Rotan, melalui Panitia Pendidikan Agama Islam, telah melaksanakan Program Kem Bestari Solat (KBS) Perdana peringkat sekolah. Program ini telah melibatkan murid-murid daripada Tahun 1 sehinggalah murid Tahun 6. 

Sesi taklimat di Dewan Ibnu Sina

Berbeza dengan KBS biasa yang diadakan dua kali setahun, pendekatan dalam KBS Perdana ini hanya menumpukan sisi-sisi tahap penguasaan lemah dalam kalangan murid. Justeru program yang bermula dari jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.45 tengah hari ini telah dibahagikan kepada dua sesi.

Pada sesi pertama, iaitu selepas sesi taklimat dijalankan, murid-murid telah dikehendaki bergilir dalam tiga LDK yang menumpukan kepada aspek bacaan dalam solat. Hanya bacaan doa iftitah, doa qunut dan bacaan tahiyyat akhir sahaja yang diberi penekanan kepada semua murid dalam sesi ini. Para guru telah memberi kerjasama yang sangat baik kerana telah membantu pihak panitia sebagai fasilitator kepada enam buah kumpulan murid dalam kem kali ini.

Sesi LDK bacaan dalam solat


 
Pada sesi kedua pula yang bermula selepas waktu rehat, sesi pembelajaran dipecahkan kepada dua pengisian. Pengisian pertama adalah melibatkan aktiviti Amali Wudhu'. Ustaz Ramlan telah memberi penerangan dan tunjuk ajar kepada murid tatacara mengambil wudhu' yang betul. Kemudian beliau dan Ustazah Nur Adilah telah mengendalikan murid-murid untuk melakukan sendiri praktikal mengambil wudhu'.

Amali Wudhu' di Surau al-Rayyan

Sejurus selepas pengisian pertama pula Muallim Solah telah menerangkan tentang tatacara menunaikan solat jenazah dan praktikalnya. Meskipun menunaikan solat jenazah merupakan suatu fardhu kifayah dan kebiasaannya ditunaikan oleh golongan dewasa, namun pendedahan sebegini adalah bagi memberi persediaan awal kepada murid tentang kewajipan mereka sebagai muslim dan masyarakat. Mudah-mudahan anak-anak SK Pechah Rotan mampu memberi sumbangan yang signifikan kepada keluarga mereka apabila diperlukan serta insaf dan terdidik dengan firman Allah s.w.t.:"setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya."








Program Mandi Wajib: Tatacara dan Praktikalnya

Suatu program pasca UPSR untuk murid Tahun 6 di sekolah ini telah diadakan seusai peperiksaan UPSR pada 25 Oktober 2018 yang lalu. Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab telah dipertanggungjawabkan untuk mengemudikan program yang bertajuk "Mandi Wajib : Tatacara dan Praktikalnya" dengan dibantu guru-guru Tahun 6 yang lain.

Slot Pertama di Makmal Komputer


Program yang telah dijalankan bermula dari jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengah hari itu telah dibahagikan kepada dua slot. Slot pertama yang bertujuan memberi penjelasan dan mengulangkaji tatacara mandi wajib telah dilaksanakan oleh Muallim Solahuddin bertempat di Makmal Komputer sekolah. Selain pembentangan yang mengunakan teknik soal jawab, murid-murid juga diberikan peluang mengajukan persoalan bagi memperkukuhkan kefahaman terhadap tatacara mandi wajib. Tayangan video terhadap praktikal mandi wajib turut disiarkan pada akhir pembentangan sesi pertama ini.


Sesi soal jawab bersama para peserta
Sesi kedua pula berlansung selepas waktu rehat. Para murid dikehendaki berkumpul di Surau al-Rayyan SKPRo bagi menjalani amali mandi wajib. Sebelum itu, para murid telah diminta membawa pakaian basahan bagi tujuan amali ini. Slot ini dikendalikan oleh Ustazah Rusnani dan Ustazah Nur Adilah dengan dibantu Teacher Masliza (guru kelas) serta dua orang guru praktikal, Ustaz Asmadi dan Ustaz Izzat.


Model murid menunjukkan tatacara praktikal mandi wajib
Sesi pertama dalam slot ini, seorang murid menjadi model bagi menunjukkan praktikal mandi wajib dengan arahan yang disampaikan oleh Ustazah Rusnani.

Kemudian pada sesi kedua pula, sesi amali telah diajalankan secara berasingan antara murid lelaki dan murid perempuan dengan kendalian guru sebagai fasilitator.




 Adalah diharapkan dengan pelaksanaan program yang julung kali diadakan pada peringkat sekolah ini mampu membantu murid bersedia menghadapi alam baligh di samping dapat menyempurnakan ibadah mereka dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Praktikal mandi wajib secara individu oleh setiap murid lelaki telah dijalankan di Surau al-Rayyan, SKPRo.